Garis Panduan Komuniti



Pengenalan

Terakhir Dikemaskini, Februari 2022

Misi TikTok adalah untuk menginspirasikan kreativiti dan membawa keceriaan. Kami sedang membina komuniti global yang membolehkan orang ramai menghasilkan dan berkongsi, serta menerokai dunia di sekeliling mereka, selain berhubung dengan orang lain di seluruh dunia. Kami komited untuk mengekalkan persekitaran yang menyokong untuk komuniti kami yang kian berkembang. Garis Panduan Komuniti kami menetapkan satu gugusan norma dan tata kelakuan yang menyediakan suatu ruang yang selamat dan mengalu-alukan untuk semua.

Di TikTok, kami mengutamakan keselamatan, kepelbagaian, keterangkuman, dan keaslian. Kami menggalakkan supaya para pencipta meraikan perkara yang menjadikan mereka unik dan supaya penonton terlibat dalam perkara yang menyemarakkan inspirasi mereka; kami percaya bahawa persekitaran yang selamat membantu semua individu berbuat demikian secara terbuka. Kami menjunjung tinggi sifat global komuniti kami, dan kami berusaha mengambil kira keseluruhan kebiasaan budaya di lokasi kami beroperasi. Kami juga turut berusaha memupuk persekitaran yang membolehkan interaksi sebenar dengan menggalakkan kandungan asli di TikTok.

Garis Panduan Komuniti kami terpakai untuk setiap individu dan segalanya di TikTok. Kami menguatkuasakan garis panduan kami secara proaktif dengan menggunakan gabungan teknologi serta moderasi tenaga kerja dan berusaha untuk berbuat demikian sebelum para pengguna sempat melaporkan kandungan yang berpotensi melanggar garis panduan ini kepada kami. Kami turut menggalakkan ahli komuniti kami supaya menggunakan alat yang kami sediakan di TikTok untuk melaporkan apa-apa kandungan atau mana-mana akaun yang mereka percaya melanggar Garis Panduan Komuniti kami.

Kami akan mengalih keluar apa-apa kandungan – termasuk video, audio, strim langsung, komen, pautan, atau teks lain – yang melanggar Garis Panduan Komuniti kami. Individu akan dimaklumkan tentang keputusan kami dan boleh membuat rayuan jika mereka percaya tiada pelanggaran yang telah berlaku. Kami akan menggantung atau menyekat akaun dan/atau pengguna yang terlibat dalam pelanggaran yang serius atau berulangan; kami juga mungkin mempertimbangkan tindakan pada platform-platform lain serta tingkah laku di luar talian dalam membuat keputusan ini. Situasi yang melibatkan apa-apa keadaan ancaman mudarat kepada nyawa manusia dalam kehidupan sebenar yang khusus, boleh dipercayai, dan bakal berlaku boleh dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang. Pengalaman TikTok yang sempurna adalah untuk individu yang berusia 13 tahun ke atas, dan kami mengalih keluar secara aktif akaun individu yang kami syak milik individu yang belum mencecah usia ini. (Di Amerika Syarikat (AS), kami menerima individu berusia bawah 13 tahun dalam TikTok untuk Pengguna Lebih Muda (TikTok for Younger Users), pengalaman aplikasi terhad yang direka khusus untuk kumpulan ini yang mempunyai kawalan keselamatan dan perlindungan privasi tambahan.)

Algoritma kami dibentuk bagi memastikan keyakinan dan keselamatan. Untuk sesetengah kandungan, kami juga mungkin mengurangkan kebolehtemuan, termasuk melalui kaedah menghalakan semula hasil carian, atau menjadikan video tersebut tidak layak untuk disyorkan dalam suapan ‘For You’. Maklumat lanjut boleh didapati di bawah ini dalam bahagian Tidak Layak untuk suapan ‘For You’.

Pada masa yang sama, kami menyedari bahawa sesetengah kandungan yang biasanya akan dikeluarkan berlandaskan Garis Panduan Komuniti kami mungkin mempunyai kepentingan awam. Oleh itu, kami mungkin mengizinkan pengecualian di bawah keadaan tertentu yang terhad, seperti kandungan pendidikan, dokumentari, saintifik, artistik, atau kandungan satira, kandungan dalam persekitaran bukan fakta (fiksyen) atau profesional, ucapan balas, atau kandungan yang sebaliknya membolehkan ekspresi individu tentang topik yang penting daripada sudut sosial. Untuk mengurangkan impak kandungan grafik yang berpotensi negatif, kami mungkin terlebih dahulu menyertakan langkah-langkah keselamatan seperti skrin “pilih untuk tonton (opt-in)” atau amaran.

Melalui rundingan dan rujukan dengan pihak berkepentingan kami, kami senantiasa mengemaskini Garis Panduan Komuniti kami dari semasa ke semasa, agar mengikut perkembangan tingkah laku dan risiko baharu, sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan TikTok kekal merupakan tempat yang selamat untuk kreativiti dan keceriaan.

 

Keselamatan kanak-kanak

Kami amat komited untuk menjamin keselamatan kanak-kanak yang berada di platform kami. TikTok mentakrifkan kanak-kanak sebagai individu-individu berusia bawah 18 tahun. Kami melarang sebarang aktiviti yang mengekalkan penganiayaan, memudaratkan, membahayakan, atau eksploitasi kanak-kanak di TikTok. Apa-apa kandungan, termasuk animasi atau media yang dihasilkan atau dimanipulasi secara digital yang menggambarkan penganiayaan, eksploitasi, atau apa-apa yang membahayakan kanak-kanak adalah pelanggaran atas platform kami dan akan dikeluarkan apabila dikesan. Kami juga melaporkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) serta bukti sokongan kepada Pusat Kanak-kanak Hilang & Dieksploitasi Nasional (National Center for Missing & Exploited Children, NCMEC) serta pihak berkuasa undang-undang yang relevan atau berkaitan.

Para pengguna kami perlu mencapai syarat usia minimum untuk menggunakan TikTok, sebagaimana yang ditetapkan dalam Terma Perkhidmatan. Apabila akaun kanak-kanak dikenal pasti, kami mengeluarkan akaun tersebut. Memandangkan platform kami direka bentuk dengan mengambil kira keselamatan kanak-kanak, sesetengah ciri kami mengenakan sekatan usia. Pemegang akaun berusia bawah 16 tahun tidak boleh menggunakan pemesejan langsung atau mengacarakan penstriman langsung dan kandungan mereka tidak layak untuk muncul dalam suapan ‘For You’ (ambang usia mungkin lebih tinggi di sesetengah rantau). Pemegang akaun yang berusia bawah 18 tahun tidak boleh menghantar atau menerima hadiah melalui ciri memberi hadiah maya.

Eksploitasi seksual kanak-kanak

TikTok akan mengambil tindakan ke atas mana-mana kandungan atau akaun yang melibatkan CSAM atau eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak. Eksploitasi seksual kanak-kanak termasuklah apa-apa salah guna kedudukan kuasa atau kepercayaan bagi tujuan seksual, termasuk meraih keuntungan dari sudut kewangan, sosial, atau politik daripada eksploitasi kanak-kanak. Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-kanak, atau CSAM ditakrifkan sebagai apa-apa gambaran visual kebogelan atau kandungan eksplisit bersifat seksual yang melibatkan kanak-kanak, sama ada dirakam oleh dewasa yang menjadi pemangsa, rakan sebaya, atau dijana sendiri oleh kanak-kanak.

Jangan siar, muat naik, muat turun, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang dikongsi, dikongsi semula, menawarkan perdagangan atau menjual, atau menghalakan pengguna ke luar platform untuk memperoleh atau mengedarkan CSAM
  • Kandungan yang membuatkan kanak-kanak dilibatkan secara seksual, atau sebaliknya menjadikan kanak-kanak objek seksual (e.g., melalui ciri produk seperti duet)
  • Kandungan yang menggambarkan, meminta, mengagung-agungkan, atau menggalakkan imej penganiayaan kanak-kanak, termasuk kebogelan, kanak-kanak yang dijadikan objek seksual, atau aktiviti seksual dengan kanak-kanak
  • Kandungan yang menggambarkan, mempromosi, membiasakan, mengagung-agungkan pedofilia atau serangan seksual terhadap kanak-kanak
  • Kandungan yang memangsakan semula kanak-kanak atau meraih kelebihan daripada mangsa penganiayaan kanak-kanak melalui perkongsian semula oleh pihak ketiga atau lakonan semula serangan atau pengakuan

Perlakuan antun seksual (Grooming)

Perlakuan antun seksual adalah yang melibatkan orang dewasa menjalin perhubungan emosi dengan kanak-kanak untuk memperoleh kepercayaan dengan tujuan membuat perhubungan seksual pada masa depan atau secara berterusan, penganiayaan seksual, pemerdagangan, atau eksploitasi lain. Perlakuan seperti ini boleh termasuk: memberi pujian, meminta hubungan pada atau di luar platform, meminta maklumat peribadi, permintaan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, permintaan atau komen seksual, dan memberi hadiah.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Usaha mendekati antun seksual
  • Kandungan yang menggambarkan, mempromosi, membiasakan, atau mengagung-agungkan perlakuan antun seksual
  • Kandungan yang meminta hubungan dalam dunia sebenar antara kanak-kanak dengan orang dewasa atau antara kanak-kanak yang mempunyai perbezaan usia yang ketara
  • Kandungan yang memaparkan atau menawarkan kebogelan kepada kanak-kanak
  • Kandungan yang memaparkan atau menawarkan kebogelan kepada kanak-kanak
  • Apa-apa permintaan imej bogel atau hubungan seksual, menerusi peras ugut atau kaedah paksaan lain

Aktiviti bogel dan seksual yang melibatkan kanak-kanak

Aktiviti bogel dan seksual melibatkan kanak-kanak termasuk kandungan yang mendedahkan payudara secara berlebihan, kemaluan, dubur, atau punggung, atau perlakuan yang meniru, membayangkan atau memaparkan tindakan seks yang melibatkan kanak-kanak. Kami tidak membenarkan sebarang gambaran, aktiviti bogel atau seksual, termasuk kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi secara digital.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang secara tersirat menggambarkan aktiviti seksual kanak-kanak termasuk persetubuhan sempurna atau tidak tembus, seks oral, atau kucupan intim
  • Kandungan yang menggambarkan kebangkitan nafsu berahi atau rangsangan seksual yang melibatkan kanak-kanak
  • Kandungan yang menggambarkan fetisy seksual melibatkan kanak-kanak
  • Kandungan yang menggambarkan alat kelamin, punggung, kawasan kemaluan, atau puting kanak-kanak perempuan.
  • Kandungan yang mengandungi bahasa yang eksplisit dari segi seksual atau menggambarkan kanak-kanak
  • Kandungan yang menggambarkan kanak-kanak yang mengandungi lirik lagu yang eksplisit dari segi seksual
  • Kandungan dengan tarian yang eksplisit dari segi seksual oleh kanak-kanak, termasuk gelek, menggoncang dada, merodok pinggul, meraba lipatan paha atau payudara sendiri atau orang lain
  • Kandungan yang menggambarkan kanak-kanak melucutkan pakaian
  • Kandungan yang menggambarkan kanak-kanak dengan pakaian yang minimum yang tidak relevan dari sudut situasi lokasi
  • Komen, emoji, teks atau grafik lain yang diseksualkan digunakan untuk menyelubungi atau membayangkan kebogelan atau aktiviti seksual kanak-kanak

Aktiviti memudaratkan oleh kanak-kanak

Aktiviti yang memudaratkan oleh kanak-kanak termasuklah pemilikan atau penggunaan bahan yang dilarang untuk kanak-kanak, salah guna bahan yang sah di sisi undang-undang, dan penglibatan dalam aktiviti haram, penyertaan dalam aktiviti, cabaran fizikal, atau menyahut cabaran yang mungkin mengancam kesejahteraan atau keselamatan kanak-kanak tersebut. Kami mengeluarkan apa-apa kandungan seperti ini daripada platform kami.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mencadangkan, menggambarkan, meniru, atau menggalakkan pemilikan atau penggunaan minuman beralkohol, tembakau, atau ubat oleh kanak-kanak
  • Kandungan yang menawarkan arahan menyasarkan kanak-kanak tentang cara membeli, menjual atau berdagang alkohol, tembakau atau bahan terkawal
  • Kandungan yang menggambarkan atau menggalakkan aktiviti yang boleh membahayakan kesejahteraan remaja, termasuk cabaran fizikal, menyahut cabaran, atau lagak ngeri

Mudarat fizikal dan psikologi kanak-kanak

Perlakuan yang mendedahkan kanak-kanak kepada risiko mudarat fizikal atau psikologi termasuk penganiayaan fizikal, pengabaian, perkara yang membahayakan kanak-kanak dan tindakan mengecil-ngecilkan daripada sudut psikologi. Kami mengeluarkan apa-apa kandungan seperti ini daripada platform kami.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggambarkan atau menggalakkan penganiayaan fizikal, pengabaian, membahayakan, atau mengecil-ngecilkan kanak-kanak dari segi psikologi

Jenayah terhadap kanak-kanak

Kami tidak membenarkan pengguna yang telah disabitkan kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak untuk mempunyai akaun di platform kami. Jenayah ini termasuk, serangan seksual, perkosaan, pembunuhan, penganiayaan atau pengabaian fizikal, pemelarian (abduction), penculikan ibu bapa antarabangsa, pemerdagangan, eksploitasi kanak-kanak untuk pelacuran, penganiayaan seksual dalam talian kanak-kanak secara langsung, eksploitasi seksual kanak-kanak dalam konteks perjalanan dan pelancongan, percubaan untuk memperoleh atau mengedarkan CSAM, dan penerbitan, pemilikan, atau pengedaran CSAM. Jika kami menemui mana-mana pengguna seperti ini, kami akan menyekat akaun tersebut. Apa-apa maklumat pengguna yang didedahkan sendiri yang menyatakan pemegang akaun ialah pedofil atau pesalah seks kanak-kanak akan ditafsirkan pada nilai mukanya dan akaun tersebut akan dipadam.

 

Tindakan dan cabaran berbahaya 

Kami tidak mengizinkan pengguna berkongsi kandungan yang menggambarkan, menggalakkan atau mengagung-agungkan tindakan berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan serius atau maut. Kami juga tidak membenarkan kandungan yang menggalakkan atau menyokong penyertaan secara kolektif dalam aktiviti berbahaya atau memudaratkan yang melanggar mana-mana aspek Garis Panduan Komuniti kami.

Kami mentakrifkan tindakan berbahaya atau perlakuan berbahaya yang lain sebagai aktiviti yang dilakukan dalam konteks bukan profesional atau tanpa kemahiran dan pengawasan keselamatan yang diperlukan yang boleh membawa kepada kecederaan yang serius atau maut bagi pengguna atau khalayak awam. Hal ini termasuk lagak ngeri atau cabaran yang berbahaya.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menunjukkan penggunaan alat, atau objek berbahaya yang berkemungkinan tidak wajar
  • Kandungan yang menggambarkan tingkah laku memandu yang berbahaya
  • Kandungan yang menggambarkan atau menggalakkan menelan atau menghadam bahan yang bukan dimaksudkan untuk dimakan dan boleh mengakibatkan kemudaratan yang teruk
  • Kandungan yang menerangkan atau memberi arahan terperinci tentang cara melakukan sesuatu aktiviti yang berbahaya
  • Permainan, provokasi, cabaran, atau lagak ngeri yang berbahaya yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kerosakan harta-benda

 

Tindakan bunuh diri, mencederakan diri sendiri, dan makan yang bercelaru

Kami amat prihatin tentang kesihatan dan kesejahteraan individu yang menganggotai komuniti kami. Kami tidak membenarkan kandungan yang menggambarkan, menggalakkan, membiasakan atau mengagung-agungkan aktiviti yang membawa kepada bunuh diri, mencederakan diri, atau kecelaruan makan. Walaubagaimanapun, kami menyokong ahli komuniti kami yang berkongsi pengalaman peribadi mereka dengan isu-isu ini dalam cara yang selamat untuk meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan komuniti. Kami juga menggalakkan individu yang bergelut dengan fikiran untuk membunuh diri atau mencederakan diri, atau yang tahu seseorang yang sedang mempertimbangkan secara serius untuk membunuh diri, supaya menghubungi perkhidmatan kecemasan atau pencegahan bunuh diri  talian penting dengan serta-merta. Sekiranya campur tangan kami dapat membantu seseorang pengguna yang mungkin terdedah kepada risiko mencederakan diri, TikTok juga akan memberi amaran kepada perkhidmatan kecemasan tempatan.

Bunuh diri dan mencederakan diri

Kami mengeluarkan kandungan yang menggambarkan bunuh diri, idea yang melibatkan tindakan bunuh diri, atau kandungan yang mungkin menggalakkan perlakuan membunuh diri atau mencederakan diri. Kami turut mengeluarkan kandungan yang menggambarkan percubaan membunuh diri atau perlakuan yang berkemungkinan mengakibatkan kematian yang diakibatkan oleh tindakan diri sendiri. Kami melarang apa-apa bentuk kandungan yang menggalakkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan bunuh diri, menyediakan arahan untuk membunuh diri, atau siaran yang menampilkan bunuh diri sebagai sesuatu yang berani atau mulia. Situasi yang melibatkan apa-apa keadaan ancaman mudarat kepada nyawa manusia dalam kehidupan sebenar yang khusus, boleh dipercayai, dan bakal berlaku boleh dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang.

Kandungan yang menggalakkan atau mendorong tipu helah (hoax) bunuh diri atau mencederakan diri juga tidak dibenarkan. Hal ini termasuk amaran mencemaskan yang boleh mengakibatkan panik dan mudarat yang tersebar luas. Kami akan mengalih keluar amaran seperti ini, sementara membenarkan kandungan yang berusaha menghapuskan panik dan menggalakkan maklumat yang tepat tentang tipu helah seperti ini.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggambarkan, menggalakkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan bunuh diri atau usaha mencederakan diri sendiri
  • Kandungan yang menyediakan arahan tentang cara membunuh diri atau cara untuk terlibat dalam usaha mencederakan diri sendiri
  • Permainan bunuh diri, provokasi, cabaran, pakatan, atau tipu helah (hoax)

Tabiat makan yang bercelaru

Kandungan yang menggalakkan tingkah laku makan yang tidak sihat dan perlakuan atau tabiat yang berkemungkinan menjejaskan kesihatan tidak dibenarkan di platform kami. Hal ini termasuklah kandungan yang melahirkan keinginan untuk kecelaruan makan, berkongsi petua atau memberi bimbingan untuk makan yang bercelaru, dan penyertaan dalam cabaran ukuran badan yang tidak sihat.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggambarkan, menggalakkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan tabiat makan yang bercelaru
  • Kandungan yang menggambarkan, menggalakkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan tingkah laku mengurangkan berat makan yang berkaitan dengan tabiat makan yang bercelaru


Kebogelan dewasa dan aktiviti seksual

Kami berusaha untuk mewujudkan platform yang membolehkan pengguna rasa dialu-alukan dan selamat. Kami tidak membenarkan kebogelan, pornografi, atau kandungan yang eksplisit dari segi seksual di platform kami. Kami juga melarang kandungan yang menggambarkan atau menyokong tindakan seksual tidak konsensual, perkongsian imej intim tidak konsensual, dan permintaan seksual dewasa.

Eksploitasi seksual

Eksploitasi seksual ditakrifkan sebagai apa-apa salah guna sebenar atau percubaan salah guna kedudukan yang lemah, kuasa, atau kepercayaan bagi tujuan seksual, termasuk meraih keuntungan dari sudut kewangan, sosial atau politik daripada eksploitasi seksual orang lain. Kami tidak membenarkan kandungan yang bersifat eksploitasi seksual.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggambarkan, meminta, mempromosi, membiasakan atau mengagung-agungkan tindakan seksual bukan konsensual atau sentuhan tidak konsensual, termasuk rogol dan serangan seksual
  • Kandungan yang menggambarkan, meminta, mempromosi, membiasakan atau mengagung-agungkan perkongsian imej intim bukan konsensual, termasuk imej seksual yang diambil, dihasilkan, atau dikongsi tanpa persetujuan
  • Kandungan yang menggambarkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan keganasan seksual
  • Kandungan yang menggambarkan, mempromosi atau mengagung-agungkan permintaan seksual termasuk menawarkan atau meminta pasangan seksual, sembang seksual, khidmat seksual, kandungan seksual premium, atau kamera seksual

Aktiviti bogel dan seksual yang melibatkan dewasa

Aktiviti bogel dan seksual termasuk kandungan yang mendedahkan secara berlebih-lebihan payudara, alat sulit, dubur, atau punggung, atau perlakuan yang meniru, membayangkan atau memaparkan tindakan seks. Kami tidak membenarkan gambaran, aktiviti bogel atau seksual, termasuk kandungan yang dihasilkan atau dimanipulasi secara digital. Kami amat prihatin tentang kandungan yang mungkin menyinggung perasaan atau tidak wajar daripada sudut budaya di sesetengah rantau atau mungkin tidak sesuai untuk pengguna segenap lapisan usia.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang secara terang-terangan atau tersirat menggambarkan aktiviti seksual termasuk persetubuhan sempurna atau tidak tembus, seks oral, atau kucupan erotik
  • Kandungan yang menggambarkan kebangkitan nafsu berahi atau rangsangan seksual
  • Kandungan yang menggambarkan fetish seksual
  • Kandungan yang menggambarkan alat kelamin, punggung, kawasan kemaluan, atau puting payudara perempuan
  • Kandungan yang mengandungi bahasa yang eksplisit dari segi seksual untuk kepuasan seksual

 

Membuli dan Gangguan

Kami yakin dengan komuniti yang terangkum dan ekspresi individu tanpa takut terhadap penganiayaan. Kami tidak bertolak ansur sekiranya ahli komuniti kami dimalukan, dibuli atau diganggu. Kandungan atau perlakuan yang menganiaya boleh mengakibatkan tekanan psikologi yang teruk dan akan dialih keluar daripada platform kami.

Perlakuan menganiaya

Kami mengeluarkan ekspresi yang menganiaya, termasuk pernyataan yang mengancam atau yang merendah-rendahkan yang berhasrat untuk mempersenda, mengaibkan, memalukan, menakutkan, atau menyakiti seseorang individu. Larangan ini dilanjutkan kepada penggunaan ciri TikTok. Untuk membolehkan ekspresi berhubung perkara berkaitan kepentingan awam, komen yang kritikal tentang tokoh awam mungkin dibenarkan; walaubagaimanapun, perlakuan menganiaya yang serius terhadap tokoh awam adalah dilarang.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menghina individu lain, atau mengecil-ngecilkan seseorang individu berdasarkan ciri seperti intelek, rupa, sifat peribadi, atau kebersihan
  • Kandungan yang menggalakkan gangguan yang diselaraskan
  • Kandungan yang mengecil-ngecilkan mangsa tragedi ganas
  • Kandungan yang menggunakan ciri interaktif TikTok (e.g., duet) untuk menghina orang lain
  • Kandungan yang menggambarkan mudarat atau intimidasi yang disengajakan, pengintaian siber atau hasut maya (trolling)
  • Kandungan yang mendoakan atau mengharapkan kematian, penyakit serius, atau mudarat serius lain terhadap mana-mana individu

Gangguan seksual

Gangguan seksual melibatkan perlakuan seksual yang tidak diingini atau tidak wajar yang ditujukan kepada individu lain. Kami tidak membenarkan kandungan yang mengagung-agungkan, membiasakan atau menggalakkan gangguan seksual, tanpa mengira niat pengguna berkenaan.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang cuba untuk membuat hubungan seksual yang tidak diingini
  • Kandungan yang mengecil-ngecilkan aktiviti seksual orang lain
  • Kandungan yang merangsang aktiviti seksual dengan individu lain, sama ada secara lisan, dalam bentuk teks (termasuk emoji), atau menerusi penggunaan mana-mana ciri dalam aplikasi
  • Kandungan yangmengubah atau menukar sesuatu imej individu lain untuk menampilkan atau membayangkan perlakuan seksual yang tidak senonoh atau penglibatan dalam aktiviti seksual
  • Kandungan yang mendedahkan, atau mengancam untuk mendedahkan kehidupan seksual peribadi seseorang, termasuk kandungan digital, sejarah seksual, dan nama pasangan seksual terdahulu
  • Kandungan yang mendedahkan, atau mengancam untuk mendedahkan, orientasi seksual seseorang tanpa persetujuan orang tersebut

Ancaman menggodam, doxxing, dan peras ugut

Mengancam untuk menggodam atau melakukan doxxing (menyiarkan maklumat peribadi kepada awam) dengan niat untuk mengganggu atau memeras ugut individu lain boleh mengakibatkan tekanan emosi yang serius dan mudarat luar talian lain. Kami mentakrifkan doxxing sebagai tindakan mengumpul dan menerbitkan data peribadi atau maklumat boleh kenalpasti peribadi (PII) bagi tujuan berniat jahat. Kami menyifatkan tingkah laku dalam talian seperti ini sebagai satu bentuk penganiayaan dan tidak membenarkan hal ini pada platform kami.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mengancam untuk mendedahkan data peribadi atau maklumat boleh kenalpasti peribadi (PII), termasuk alamat kediaman, alamat e-mel peribadi, nombor telefon peribadi, penyata bank, nombor keselamatan sosial, atau nombor pasport
  • Kandungan yang mengancam untuk  memeras ugut seseorang individu atau menggodam akaun seseorang individu
  • Kandungan yang mengapi-apikan atau menggalakkan orang lain supaya menggodam atau mendedahkan akaun peribadi, data peribadi, atau maklumat boleh mengenal pasti peribadi (PII) orang lain.
  • Akaun, data peribadi, atau maklumat boleh mengenal pasti peribadi seseorang individu untuk menggalakkan orang lain supaya menganiaya, menghasut maya (troll) atau mengganggu individu tersebut

 

Tingkah Laku Penuh Kebencian

TikTok ialah komuniti yang pelbagai dan inklusif yang tidak bertolak-ansur terhadap diskriminasi. Kami tidak membenarkan kandungan yang mengandungi ucapan benci atau yang melibatkan perlakuan penuh kebencian dan kami mengeluarkan perkara ini daripada platform kami. Kami menyekat akaun dan/atau pengguna yang terlibat dengan pelanggaran serius atau secara berulang-ulang, dasar ucapan benci atau yang berkaitan dengan ucapan benci di luar platform TikTok.

Serangan dan penghinaan berdasarkan ciri-ciri yang dilindungi

Kami mentakrifkan ucapan benci sebagai kandungan yang menyerang, mengancam, menghasut keganasan terhadap, atau sebaliknya menghina individu atau kumpulan berdasarkan ciri-ciri yang dilindungi berikut:

  • Kaum
  • Asal etnik
  • Negara asal
  • Agama
  • Kasta
  • Orientasi seksual
  • Jantina
  • Gender
  • Identiti gender
  • Penyakit serius
  • Kelainan upaya
  • Status imigrasi

Penghinaan ditakrifkan sebagai istilah menghina yang berniat untuk mengecil-ngecilkan sesuatu kumpulan atau individu berdasarkan mana-mana ciri yang dilindungi yang tersenarai di atas. Untuk mengurangkan penyebaran istilah yang benar-benar menyinggung perasaan, kami telah mengalih keluar semua bentuk penghinaan daripada platform kami, melainkan istilah tersebut diperuntukkan semula, digunakan sebagai rujukan kepada diri sendiri (e.g., ahli kumpulan yang dilindungi), atau digunakan dalam cara yang tidak mengecil-ngecilkan (e.g., konteks pendidikan).

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mendakwa individu atau kumpulan dengan ciri-ciri yang dilindungi adalah lebih rendah martabatnya daripada sudut fizikal, mental, atau moral atau merujuk kepada mereka sebagai penjenayah, haiwan, objek tidak hidup, atau entiti bukan manusia lain  
  • Kandungan yang menggalakkan atau memberi justifikasi untuk keganasan, pengecualian, pengasingan, atau diskriminasi terhadap mereka
  • Kandungan yang menyertakan penggunaan penghinaan yang bukan merujuk kepada diri sendiri
  • Kandungan yang menetapkan transgender atau individu non-binari sebagai sasaran melalui salah gender atau deadnaming (menggunakan nama sebelum penukaran gender)
  • Kandungan yang menggambarkan mudarat yang dikenakan kepada individu atau kumpulan berdasarkan  sesuatu ciri yang dilindungi

Ideologi penuh kebencian

Ideologi penuh kebencian ialah ideologi yang mempamerkan secara jelas permusuhan terhadap orang disebabkan oleh ciri-ciri mereka yang dilindungi. Ideologi penuh kebencian tidak serasi dengan komuniti terangkum dan menyokong yang disediakan oleh platform kami dan kami mengeluarkan kandungan yang menggalakkan ideologi ini.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang memuji, menggalakkan, mengagung-agungkan, atau menyokong mana-mana-mana ideologi penuh kebencian (e.g., keagungan kulit putih, misogini, anti-LGBTQ+, antisemitisme)
  • Kandungan yang mempunyai nama, simbol, logo, bendera, cogan kata, pakaian seragam, gerak isyarat, sanjungan, ilustrasi, potret, lagu, muzik, lirik, atau objek lain yang berkaitan dengan ideologi penuh kebencian
  • Kandungan yang menggalakkan, menyokong, atau mengiklankan terapi penukaran atau program yang berkaitan
  • Kandungan yang menafikan peristiwa yang didokumenkan dengan baik dan melibatkan keganasan yang telah berlaku yang menjejaskan kumpulan dengan ciri-ciri yang dilindungi (e.g., penafian tentang Holocaust)
  • Dakwaan keagungan mengatasi kumpulan orang dengan rujukan kepada ciri-ciri yang dilindungi
  • Teori konspirasi yang digunakan untuk memberi justifikasi ideologi penuh kebencian


Ekstremisme Keganasan

Kami mempunyai pendirian yang tegas tentang galakan keganasan di dalam dan di luar platform TikTok. Kami tidak membenarkan orang menggunakan platform kami untuk mengancam atau mengapi-apikan keganasan, atau mempromosi organisasi, individu atau tindakan ekstremis keganasan. Sekiranya terdapat ancaman kepada keselamatan awam atau sesuatu akaun digunakan untuk menggalakkan atau mengagung-agungkan keganasan di luar platform, kami akan menyekat akaun tersebut. Sekiranya wajar, kami akan melaporkan akaun berkenaan kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Untuk melindungi komuniti kami secara berkesan, kami mungkin mengambil kira tingkah laku di luar talian untuk mengenal pasti organisasi dan individu ekstremis keganasan pada platform kami. Jika kami mendapati organisasi atau individu seperti ini, kami akan menyekat akaun mereka.

Ancaman dan hasutan untuk melakukan keganasan

Kami menyifatkan penghasutan untuk melakukan keganasan sebagai menyokong, mengarah, atau menggalakkan orang melakukan keganasan. Kami tidak membenarkan ancaman keganasan atau hasutan untuk melakukan keganasan, pada platform kami yang mungkin mengakibatkan kemudaratan fizikal yang serius.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Pernyataan niat untuk menyebabkan kecederaan fizikal kepada individu atau kumpulan
  • Pernyataan atau imej yang menggalakkan orang lain melakukan atau yang menyokong keganasan fizikal
  • Pernyataan bersyarat atau bersifat aspirasi yang menggalakkan orang melakukan keganasan
  • Seruan atau panggilan untuk membawa senjata ke sesebuah lokasi dengan niat untuk menakut-nakutkan atau mengancam individu atau kumpulan dengan keganasan
  • Memberi arahan tentang cara membuat atau menggunakan senjata yang boleh mengapi-apikan keganasan

Organisasi dan individu ekstremis keganasan

Kami tidak membenarkan organisasi atau individu pada platform kami yang menggalakkan atau terlibat dalam keganasan, termasuk organisasi pengganas, kumpulan kebencian terancang, organisasi jenayah, dan kumpulan bersenjata bukan negara yang menyasarkan orang awam.

Organisasi pengganas

Pengganas dan organisasi pengganas merupakan petindak bukan negara yang mengancam untuk melakukan keganasan, menggunakan keganasan, dan/atau melakukan jenayah serius (seperti jenayah kemanusiaan) terhadap penduduk awam dalam usaha mencapai objektif politik, agama, etnik, atau ideologi.

Kumpulan kebencian terancang

Kami menggunakan istilah “kebencian terancang” untuk merujuk kepada individu atau organisasi yang menyerang orang berdasarkan ciri-ciri yang dilindungi, seperti kaum, asal etnik, negara asal, agama, kasta, orientasi seksual, jantina, gender, identiti gender, atau status imigrasi. Kami menyifatkan serangan sebagai merangkumi tindakan yang mengapi-apikan kebencian, yang bertujuan untuk menghina individu atau kumpulan, atau yang mengamalkan ideologi kebencian.

Organisasi jenayah

Organisasi jenayah bersifat transnasional (merentas sempadan negara), nasional, atau kumpulan setempat yang terlibat dalam jenayah serius, termasuk jenayah ganas (e.g., pembunuhan, rogol, rompakan, serangan), penyeludupan (e.g., manusia, organ, dadah, senjata), penculikan, jenayah kewangan (e.g., pemerasan, peras ugut, penipuan, pengubahan wang haram), atau jenayah siber.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang memuji, menggalakkan, mengagung-agungkan, atau menyokong tindakan ganas atau organisasi atau individu ekstremis
  • Kandungan yang menggalakkan penyertaan dalam, atau berhasrat untuk merekrut individu ke dalam organisasi ekstremis keganasan
  • Kandungan yang mempunyai nama, simbol, logo, bendera, cogan kata, pakaian seragam, gerak isyarat, sanjungan, ilustrasi, potret, lagu, muzik, lirik, atau objek lain yang bermaksud untuk mewakili organisasi atau individu ekstremis keganasan

 

Integriti dan ketulenan

Kami percaya bahawa kepercayaan menjadi asas komuniti kami. Kami tidak membenarkan aktiviti yang menjejaskan integriti platform kami atau ketulenan pengguna kami. Kami mengalih keluar kandungan atau akaun yang melibatkan spam atau interaksi palsu, penyamaran, atau maklumat yang mengelirukan yang mengakibatkan mudarat yang ketara.

Spam dan interaksi palsu

Interaksi palsu termasuk apa-apa kandungan atau aktiviti untuk meningkatkan populariti secara palsu pada platform ini. Kami melarang apa-apa percubaan untuk memanipulasi platform ini untuk meningkatkan metrik interaksi.

Jangan:

  • Berkongsi arahan tentang cara meningkatkan tontonan, suka, pengikut, perkongsian, atau komen secara palsu
  • Melibatkan diri dalam penjualan atau pembelian tontonan, suka, pengikut, perkongsian atau komen
  • Mempromosi khidmat penjanaan trafik palsu
  • Mengendalikan berbilang akaun TikTok dengan dakwaan palsu atau menipu untuk mengedarkan spam komersial
  • Mencipta perisian berniat jahat atau mengubah suai kod untuk meningkatkan tontonan, suka, pengikut, perkongsian, atau komen secara palsu

Penyamaran

Kami tidak membenarkan akaun yang menyamar sebagai orang atau entiti lain secara mengelirukan. Apabila kami mengesahkan laporan penyamaran, kami boleh meminta pengguna berkenaan supaya mengemaskini profilnya, atau menggantung atau menyekat akaun tersebut. Kami tidak membenarkan akaun yang secara jelas adalah parodi, ulasan, atau berasaskan peminat, seperti yang nama pengguna akaun tersebut mengisyaratkan bahawa akaun tersebut milik peminat, bersifat komentari, atau parodi dan tidak terikat dengan perkara akaun berkenaan.

Jangan:

  • Jangan berlagak sebagai orang atau entiti lain dengan menggunakan nama, butiran biografi atau gambar profil seseorang secara mengelirukan

Salah maklumat yang memudaratkan

Salah maklumat ditakrifkan sebagai kandungan yang tidak tepat atau palsu. Kami akan mengalih keluar salah maklumat yang mengakibatkan mudarat yang ketara kepada individu, komuniti kami, atau khalayak awam yang lebih luas tanpa mengira niatnya. Mudarat yang ketara termasuklah kecederaan fizikal yang serius, penyakit, atau kematian; trauma psikologi yang teruk; kerosakan harta benda berskala besar, menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi sivik dan proses seperti kerajaan, pilihanraya, dan organisasi saintifik. Hal ini tidak termasuk maklumat yang tidak tepat, mitos, atau mudarat komersial atau reputasi sahaja.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Salah maklumat yang mengapi-apikan kebencian dan prasangka
  • Salah maklumat berkaitan kecemasan yang mencetuskan panik
  • Salah maklumat perubatan yang boleh mengakibatkan mudarat kepada kesihatan fizikal seseorang individu
  • Kandungan yang mengelirukan ahli komuniti tentang pilihanraya atau proses sivik yang lain
  • Kandungan bersifat konspirasi termasuk yang menyerang individu kumpulan khusus yang dilindungi, menyertakan seruan untuk bertindak ganas, atau menafikan peristiwa ganas atau tragis yang telah berlaku
  • Pemalsuan Digital (Media Sintetik atau Media Dimanipulasi) yang mengelirukan pengguna dengan memutarbelitkan kebenaran tentang peristiwa dan mengakibatkan mudarat yang ketara kepada subjek dalam video, atau orang lain, atau masyarakat

Jangan:

  • Terlibat dalam perlakuan tidak tulen yang diselaraskan, seperti penggunaan berbilang akaun untuk memberi pengaruh dan mengubah pandangan awam sambil mengelirukan individu, komuniti atau sistem kami tentang identiti, lokasi, perhubungan, populariti atau tujuan akaun tersebut

 

Aktiviti haram dan barangan terkawal

Kami berusaha untuk memastikan TikTok tidak mengupayakan aktiviti yang melanggar undang-undang atau peraturan. Kami melarang perdagangan, jualan, promosi, dan penggunaan barangan terkawal tertentu, serta promosi atau pemudahan aktiviti jenayah, termasuklah eksploitasi manusia. Kandungan boleh dialih keluar jika ia berkaitan dengan aktiviti atau barangan yang dikawal atau haram di sebahagian besar rantau atau dunia.

Aktiviti jenayah

Aktiviti jenayah meliputi spektrum yang luas bagi tindakan yang boleh dihukum oleh undang-undang, termasuk mencuri, menyerang, eksploitasi insan, pemalsuan, dan perlakuan memudaratkan yang lain. Untuk mencegah perlakuan seperti daripada menjadi perkara normal, ditiru, atau dimudahkan, kami mengeluarkan kandungan yang mempromosi atau mendayakan aktiviti jenayah.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggalakkan tindakan mudarat fizikal, seperti menyerang atau menculik
  • Kandungan yang menimbulkan risiko keselamatan kepada orang lain, termasuk membuat panggilan kecemasan palsu
  • Kandungan yang menggalakkan eksploitasi manusia, penyeludupan manusia, buruh paksa, penghambaan domestik, perdagangan seks, atau pelacuran
  • Kandungan yang menggalakkan vandalisme atau kerosakan kepada harta-benda
  • Kandungan yang menggalakkan pemburuan haram atau perdagangan haram hidupan liar
  • Kandungan yang menawarkan pembelian, jualan, perdagangan, atau permintaan barangan yang diperoleh secara haram atau palsu
  • Kandungan yang memberi arahan tentang cara mengendalikan aktiviti haram yang memudaratkan orang ramai, haiwan, atau harta-benda

Senjata

Kami tidak membenarkan gambaran, promosi, atau perdagangan senjata api, peluru, aksesori senjata api atau senjata letupan. Kami juga melarang arahan tentang cara mengilang senjata-senjata tersebut. Kami mungkin membenarkan gambaran semasa muncul dalam konteks pendidikan (e.g., sebagai sebahagian daripada koleksi muzium), yang melibatkan kakitangan kerajaan yang sah (e.g., pegawai polis) atau digunakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal (e.g., lapangan menembak, lapangan memburu rekreasi).

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mempamerkan senjata api, aksesori senjata api, peluru, atau senjata letupan
  • Kandungan yang menawarkan pembelian, jualan, perdagangan atau permintaan senjata api, aksesori, peluru, senjata letupan, atau arahan tentang cara mengilang perkara-perkara ini

Dadah, bahan terkawal, alkohol dan tembakau

Kami tidak membenarkan gambaran, promosi, atau perdagangan dadah atau bahan terkawal lain. Perdagangan produk tembakau dan alkohol juga dilarang di platform ini.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggambarkan atau menggalakkan orang lain membuat, menggunakan, atau berdagang dadah atau bahan terkawal lain
  • Kandungan yang menawarkan pembelian, jualan, perdagangan, atau permintaan dadah atau bahan terkawal lain, produk alkohol atau tembakau (termasuk produk vaping, produk tembakau tanpa asap atau boleh bakar, produk nikotin sintetik, e-rokok, dan ENDS (Sistem Penghantaran Nikotin Elektronik) yang lain)
  • Kandungan yang menyediakan maklumat tentang cara membeli bahan haram atau terkawal
  • Kandungan yang menggambarkan atau mempromosi penyalahgunaan bahan yang sah di sisi undang-undang, atau arahan tentang cara membuat bahan yang dibuat di rumah, dalam usaha untuk menjadi mabuk

Penipuan atau komplot (scam)

Kami tidak membenarkan sesiapa pun mengeksploitasi platform kami untuk meraih manfaat daripada kepercayaan pengguna dan mengakibatkan mudarat kewangan atau peribadi. Kami mengeluarkan kandungan yang memperdaya orang untuk mendapatkan keuntungan kewangan atau kelebihan peribadi yang melanggar undang-undang, termasuklah skim untuk menipu individu atau mencuri aset.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang menggalakkan pemancingan data (phishing)
  • Kandungan yang mempromosi Skim Cepat Kaya (Ponzi scheme), pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau skim piramid
  • Kandungan yang mempromosi skim pelaburan dengan janji pulangan yang tinggi, pertaruhan yang ditetapkan, atau apa-apa jenis komplot lain

Perjudian

Kami tidak membenarkan kandungan yang mempromosi khidmat perjudian, atau yang boleh dianggap sebagai pengiklanan kasino, pertaruhan sukan, atau mana-mana aktiviti perjudian komersial yang lain.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mempromosi kasino, pertaruhan sukan, poker, loteri, perisian dan aplikasi berkaitan perjudian, atau perkhidmatan perjudian lain

Privasi, data peribadi, dan maklumat yang boleh mengenal pasti peribadi (PII)

Kami tidak membenarkan kandungan yang melanggar kerahsiaan data peribadi dan maklumat yang boleh mengenal pasti peribadi (e.g., maklumat keselamatan sosial, nombor telefon, alamat fizikal). Kami mengeluarkan kandungan yang menggambarkan data peribadi atau maklumat boleh mengenal pasti peribadi (PII) daripada platform ini.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang mengandungi data peribadi atau maklumat yang boleh mengenal pasti peribadi (PII)

 

Kandungan ganas dan grafik

TikTok merupakan platform yang meraikan kreativiti dan bukan terhadap perkara yang mempunyai nilai kejutan (shock-value) atau keganasan. Kami tidak membenarkan kandungan yang secara tidak wajar mengejutkan, bersifat grafik, sadis, atau menggerunkan yang menggalakkan, membiasakan, atau mengagung-agungkan keganasan ekstrem atau penderitaan pada platform kami. Apabila terdapat ancaman kepada keselamatan awam, kami menyekat akaun berkenaan dan apabila wajar, kami membuat laporan tentang hal itu kepada pihak berkuasa undang-undang yang berkaitan.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan manusia yang menggambarkan:
    • kematian atau kemalangan yang ganas atau grafik
    • mayat manusia yang hilang anggota badan, tubuh yang dikerat-kerat, mayat rentung atau mayat yang lecur
    • pertumpahan darah yang memberi tumpuan utama kepada luka terdedah atau kecederaan
    • keganasan fizikal, pergaduhan, atau penyeksaan dunia sebenar
  • Kandungan haiwan yang menggambarkan:
    • penyembelihan atau kematian haiwan yang bukan bersifat semula jadi
    • bangkai haiwan yang hilang anggota badan, tubuh haiwan yang dikerat-kerat, bangkai haiwan rentung atau bangkai haiwan yang melecur
    • kezaliman dan pertumpahan darah melibatkan haiwan


Pelanggaran hak cipta dan tanda dagangan

Hak cipta adalah hak sah di sisi undang-undang yang melindungi kerja asli pengarang/pencipta (e.g., muzik, video) dan ekspresi asal sesuatu idea (e.g., cara khusus video atau muzik diekspresi atau dicipta), walaupun tidak melindungi idea atau fakta asas. Tanda dagangan ialah kata, simbol, cogan kata, reka bentuk yang mengenal pasti dan membezakan sumber sesuatu produk atau perkhidmatan. Kami menggalakkan supaya semua orang menghasilkan dan berkongsi kandungan asli. Kandungan yang melanggar hak harta intelektual orang lain dilarang pada platform kami dan akan dikeluarkan sekiranya kami menyedari hal itu. Penggunaan kerja berhak cipta di bawah keadaan tertentu, seperti penggunaan doktrin atau undang-undang berkuat kuasa lain secara adil, atau penggunaan tanda dagangan untuk merujuk, membuat komen yang sah di sisi undang-undang, mengkritik, membuat parodi, membuat halaman peminat, atau menilai produk atau perkhidmatan, mungkin disifatkan sebagai pelanggaran dasar kami.

Jangan siar, muat naik, strim, atau kongsi:

  • Kandungan yang melanggar atau mencabuli hak cipta, tanda dagangan, atau hak harta intelektual orang lain

 

Keselamatan platform

Prioriti paling utama bagi TikTok adalah keselamatan dan kawalan keselamatan pengguna, pencipta, rakan niaga, vendor, dan data pekerja, termasuklah maklumat peribadi, akaun, profil, dan kandungan mereka serta maklumat hak milik lain, selain produk dan perkhidmatan kami. Kami tidak membenarkan akses kepada platform TikTok -- termasuk laman web, aplikasi, rangkaian, dan infrastruktur atau rangkaian yang berkaitan -- melalui kaedah yang tidak dibenarkan, atau untuk memperoleh maklumat komersial atau peribadi sulit yang sensitif.
Apa-apa percubaan untuk menjejaskan atau menyalahgunakan keselamatan, integriti, atau kewibawaan platform, produk, atau perkhidmatan kami adalah dilarang secara jelas.

Jangan:

  • Cuba untuk mengakses platform TikTok dengan cara yang tidak diizinkan, dan jangan membuat versi platform TikTok yang palsu atau mengelirukan
  • Membuat atau mengedarkan fail, kandungan, atau mesej berniat jahat yang mengandungi virus, kuda Trojan, worms, bom logik, atau bahan lain yang memudaratkan komuniti atau platform ini
  • Menggunakan skrip automatik, perangkak web, perisian, teknik yang mengelirukan, atau apa-apa cara lain untuk cuba mendapatkan, memperoleh, atau meminta kelayakan log masuk atau maklumat sensitif lain, termasuk data bukan awam, daripada TikTok atau pengguna TikTok
  • Menggunakan akaun TikTok bawah dakwaan palsu atau yang menipu untuk mengedarkan kandungan spam, penipuan memancing, atau smishing dalam percubaan untuk melakukan jenayah siber atau memperoleh akses tanpa izin kepada kandungan, akaun, sistem, atau data orang lain
  • Mengubahsuai, mengadaptasi, menterjemah, melakukan rekaan songsang, menyahpasang, decompile, atau menghasilkan produk terbitan berdasarkan TikTok, termasuk apa-apa fail, jadual atau dokumentasi, mahupun cuba menjana semula apa-apa kod sumber, algoritma, kaedah atau teknik yang terbina dalam TikTok
  • Memberi akses kelayakan akaun anda kepada orang lain atau membolehkan orang lain mengendalikan aktiviti yang bertentangan dengan Garis Panduan Komuniti kami
  • Klik pada pautan yang meragukan atau terlibat dalam permintaan maklumat tentang butiran akaun TikTok anda, kata laluan, kelayakan pengesahan, kewangan, atau maklumat peribadi anda yang lain


Tidak layak untuk Suapan ‘For You’

Matlamat suapan ‘For You’ (FYF) adalah untuk menyediakan kandungan asli yang mendukung misi kami, iaitu menginspirasikan kreativiti dan menceriakan komuniti kami yang pelbagai di seluruh dunia. Setiap FYF pemegang akaun adalah berdasarkan sistem pengesyoran yang disesuaikan dengan peribadiSistem mengesyorkan kami direka bentuk dengan memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna, yang bermaksud sesetengah kandungan mungkin tidak layak untuk disyorkan. Meskipun sifat spontan FYF ialah perkara yang menjadikan TikTok unik, FYF ini bertujuan untuk khalayak awam yang termasuk semua orang, dari pengguna belasan tahun kami hinggalah ke warga emas. Kami mengambil kira keluasan audiens kami sewaktu menentukan kandungan yang layak untuk promosi berdasarkan algoritma pada platform ini. Dengan syarat ia tidak melanggar undang-undang tempatan, jenis kandungan yang berikut dibenarkan pada platform kami, boleh dicari, dan ditonton dalam FYF berikut tetapi tidak layak untuk disyorkan.

Keselamatan Kanak-Kanak

Pertimbangan dan identiti kanak-kanak semakin matang sambil mereka membesar. Bagi menyediakan kepada remaja belasan tahun untuk meneroka dan melahirkan identiti dalam ruang digital, kandungan yang dimuat naik oleh pengguna bawah umur 16 tahun tidak layak disyorkan. Kami berusaha untuk menggalakkan perkembangan yang sihat meliputi segenap lapisan usia. Promosi pembedahan kosmetik kepada kanak-kanak boleh mengakibatkan kadar ketidakpuasan tentang tubuh badan yang lebih tinggi. Selaras dengan itu, kandungan seperti ini -- termasuk video sebelum-dan-selepas, video prosedur pembedahan, dan mesej yang membincangkan pembedahan kosmetik elektif tanpa amaran risiko -- tidak layak untuk FYF untuk semua pengguna berusia bawah 18 tahun.

Lagak ngeri dan sukan berbahaya

Aktiviti tertentu mungkin berisiko atau berbahaya apabila ditiru tanpa pengawasan keselamatan, yang boleh mengakibatkan kemudaratan fizikal. Kandungan yang termasuk lagak ngeri berbahaya, atau sukan ekstrem yang dilakukan oleh bukan profesional, mungkin tidak layak. (Kami mengeluarkan kandungan yang menggambarkan tindakan berbahaya dan cabaran yang dilakukan oleh bukan profesional, yang mungkin mengakibatkan kecederaan serius atau kematian untuk pengguna dan juga khalayak awam).

Kandungan yang bersifat seksual secara terang-terangan

Kami amat menyedari bahawa bukan semua kandungan mungkin sesuai untuk kesemua pengguna (khususnya remaja belasan tahun) dan/atau mungkin tidak sesuai daripada segi budaya di sesetengah rantau. Bagi membantu mengekalkan pengalaman yang selesa dan sesuai dengan usia, kandungan yang secara terang-terangan membayangkan sifat seksual mungkin tidak layak untuk disyorkan. Perkara ini termasuklah kandungan yang memberi bayangan kebogelan, menseksualkan anggota badan, atau secara terang-terangan bersifat erotik atau ghairah (e.g., tarian bogel).

Tembakau dan produk tembakau

Kami amat komited untuk menjamin keselamatan kanak-kanak pada platform kami. Kandungan yang menggalakkan, mengungkapkan, atau menggambarkan produk alkohol yang diambil oleh individu yang boleh minum alkohol secara sah tetapi dilakukan secara berbahaya mungkin tidak layak untuk disyorkan. Kandungan yang menggambarkan penggunaan produk tembakau oleh orang dewasa atau mengungkapkan bahan terkawal tidak layak untuk disyorkan. Sila ingat bahawa kandungan yang mencadangkan, menggambarkan, meniru, atau menggalakkan pemilikan atau penggunaan minuman beralkohol, tembakau, atau ubat oleh kanak-kanak adalah dilarang. Kandungan yang menawarkan arahan tentang cara membeli, menjual atau berdagang alkohol, tembakau atau bahan terkawal yang menetapkan kanak-kanak sebagai sasaran, adalah turut dilarang berlandaskan Garis Panduan Komuniti kami.

Kandungan ganas dan grafik

Komuniti kami meraikan kreativiti, tetapi nilai kejutan (shock-value) bukanlah pilihan semua orang. Kandungan yang boleh mengakibatkan rasa tidak selesa, kejutan atau menimbulkan kejelikan dalam kalangan penonton mungkin tidak layak untuk FYF, termasuk kesan menggerunkan, kejutan  sentak, solekan yang meniru luka menggerunkan secara realistik, gambaran fungsi tubuh badan. Kebanyakan kandungan ganas dan grafik tidak dibenarkan pada TikTok; Walaubagaimanapun, dalam situasi tertentu kami mungkin tidak mengalih keluar sesetengah jenis kandungan ini, seperti gambaran kematian, kemalangan atau pergaduhan yang grafik apabila peristiwa dunia sebenar sedang didokumenkan dan adalah demi kepentingan awam. Memandangkan kandungan ini tidak sesuai untuk semua penonton, ia tidak akan layak disyorkan dan kandungan ini akan menyertakan skrin “pilih untuk tonton” atau amaran.

Spam, kandungan tidak asli, atau yang mengelirukan

Kami menghargai keaslian dan ketepatan. Kami menetapkan perkara berikut tidak layak untuk FYF, termasuk, apa-apa kandungan yang menggunakan muslihat atau manipulasi pengguna untuk meningkatkan secara tidak tulen, pengikut, suka, tontonan atau metrik interaksi yang lain pada platform ini, termasuk ikut-untuk-ikut, suka-untuk-suka, dan mengelirukan atau memanipulasi pengguna supaya mengklik butang suka atau kongsi. Kandungan bersifat konspirasi yang secara am bertentangan dengan kepercayaan yang diterima dan menyalahkan sesebuah kumpulan atau entiti (dan sebaliknya bukan mana-mana individu yang masih hidup) atau yang termasuk kandungan yang berpotensi mengelirukan dan memudaratkan tentang peristiwa semasa yang sedang berlaku, yang maklumat terperinci tentang hal itu masih belum lengkap, juga tidak layak untuk disyorkan.

Kandungan tidak asli, berkualiti rendah, dan berkod QR

Kandungan yang asli dan menghiburkan membentuk teras komuniti TikTok ini. Untuk mengekalkan pengalaman yang positif, para pengguna kami menghendaki supaya platform TikTok memastikan kandungan yang tidak asli dan berkualiti rendah tidak layak untuk disyorkan. Kami menyifatkan kandungan sebagai tidak asli jika kandungan tersebut diimport atau dimuat naik dari TikTok, platform lain, atau sumber lain termasuk televisyen, wayang, atau siar web, dan pengguna tidak menambah suntingan baharu yang kreatif. Salah satu tanda bahawa kandungan berkenaan tidak asli ialah tera air atau tindihan logo yang boleh dilihat. Kandungan berkualiti rendah termasuklah klip yang tersangat singkat, imej statik, dan video yang secara eksklusif berasaskan GIF. Kandungan yang menyertakan kod QR biasanya tidak layak untuk FYF disebabkan hal ini boleh membawa pengguna ke laman web atau aplikasi yang memudaratkan. Namun begitu, kami mengecualikan keadaan tertentu yang risiko tersebut adalah rendah (e.g., e-dagang).

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada komuniti global kami yang bersemangat dan bekerjasama dengan kami untuk mengekalkan ruang yang mengalu-alukan untuk semua pengguna. Jika anda menemui kandungan atau akaun yang anda rasa melanggar Garis Panduan Komuniti kami, sila beritahu kami  supaya kami boleh menyemak dan mengambil tindakan yang sewajarnya.